Like Us

Monday 16 September 2013

Kes tembak: Polis Kelantan buru 2 lelaki

KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu dua lelaki berusia 29 dan 48 tahun bagi membantu siasatan kes tembak di Kampung Kemasin, Bachok dan Kampung Telosan, Pasir Puteh, tahun ini.
  
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penarik kereta, Mohd Rafi Ismail, 48, beralamat di Belakang Klinik Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, diburu bagi membantu siasatan kes tembak yang mengakibatkan seorang lelaki berusia 50-an maut ketika sedang bersarapan bersama-sama keluarganya di sebuah warung di Kampung Kemasin, Februari lepas.
  
Suspek disyaki perancang utama kes pembunuhan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Remaja di sini hari ini.
  
Mazlan berkata polis turut memburu Mohd Khairul Ahmad Bostaman, 29, berasal dari Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Terengganu bagi membantu siasatan kes tembak di Kampung Telosan pada Ogos yang mengakibatkan seorang penoreh getah maut.
  
"Suspek dikatakan sedang minum di sebuah warung bersama mangsa ketika kejadian tembakan itu berlaku dan menghilangkan diri selepas itu.

"Kita percaya suspek terlibat sebagai 'penanda' (pointer) kepada penembak terbabit," kata Mazlan.
  
Sementara itu, Mazlan berkata dua lagi iaitu Mohd Norfino Omar, 30, dan rakannya, Mohd Al Badawi Ab Kadir, 26, diburu kerana disyaki terlibat dengan jenayah peras ugut di Kok Lanas di sini pada kira-kira 7 malam semalam.
  
"Kedua-dua mereka juga disyaki terlibat dalam kes tetak dan simbah asid yang berlaku di Padang Purut, Nilam Puri pada Februari tahun lepas," tambahnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment