Like Us

Wednesday 11 September 2013

PPPM dapat respons baik banyak PIHAK??? WHAT????


LONDON - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan minggu lepas, menerima respons amat memberangsangkan dan menggalakkan daripada pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak pihak menyuarakan keyakinan mereka dengan hala tuju serta peningkatan mutu pendidikan negara dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam pelan itu.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit secara langsung jelas ingin melihat kejayaannya dan tahap pencapaian lebih baik dalam pelbagai segi, termasuk komitmen komuniti ibu bapa, tenaga pengajar, kepimpinan sekolah dan pelajar. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata beliau gembira kerana dalam
pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri di sini dua hari lepas, wakil dari University of Redding dan beberapa universiti lain di UK yang mengambil bahagian, turut memberi pandangan positif terhadap inisiatif kerajaan melancarkan PPPM.

"Mereka kagum dengan pelan ini dan ucap tahniah kerana kerajaan Malaysia mengambil inisiatif yang begitu besar, dan mereka jangka ia juga memberi faedah kepada pihak universiti juga, dalam erti kata lain pelajar-pelajar yang dilahirkan menerusi sistem ini  bila masuk IPT nanti adalah pelajar-pelajar yang tinggi kualitinya," katanya dalam persidangan media bersama wartawan Malaysia di hari keempat lawatan kerja lima hari beliau ke UK, di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini.

PPM yang dilancarkan Muhyiddin Jumaat lepas merupakan rancangan pembangunan sistem pendidikan negara yang diperkasa dan dibangunkan secara berterusan, yang dirangka berasaskan objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing di peringkat global, di samping merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil gelombang pertama PPPM akan dapat dilihat menerusi pembentangan pencapaian sasarannya akhir tahun ini, sebagai menyerlahkan ketelusan kerajaan di samping memaklumkan tentang kejayaannya atau ada kelemahan yang perlu dibaiki.

"Pastinya gelombang pertama untuk lihat impak ketara mungkin tidak begitu mudah, tapi kita jangka dalam tahun-tahun berikutnya akan dapat lihat kesan (pencapaian) lebih ketara," katanya.

Merujuk kepada sasaran wajib lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang tahun 2016, Muhyiddin berkata, beliau yakin ia boleh dicapai, selaras dengan pelbagai inisiatif yang sedang dan telah diambil kerajaan bagi memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru bahasa itu.

Beliau berkata, langkah segera yang diambil baru-baru ini ialah menghantar 5,000 guru Bahasa Inggeris menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dengan 9,000 guru lagi akan menyusul bulan depan. Kira-kira 60,000 guru Bahasa Inggeris disasar menjalani latihan itu.

Muhyiddin berkata, inisiatif lain kerajaan adalah mendapatkan bantuan tenaga pengajar dari luar negara seperti Amerika Syarikat untuk datang ke Malaysia bagi mengajar guru bahasa Inggeris tempatan.     Katanya, dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatan dari UK Nick Clegg semalam, beliau turut mengusulkan kepada kerajaan UK untuk menggerakkan inisiatif serupa.

Beliau berkata, banyak lagi inisiatif akan dilancarkan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, seperti menambah jumlah masa ‘contact hour’ untuk pelajar mempelajari bahasa itu di samping penganjuran pertandingan perbahasan dan kuiz.

Katanya, beliau turut mengarahkan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM memastikan guru bahasa Inggeris yang dihasilkannya lulus tahap penguasaan bahasa sebelum dihantar mengajar.

Ini bermakna sekiranya seseorang guru itu gagal dalam ujian tahap penguasaan bahasa Inggeris, guru itu terpaksa meneruskan latihan di IPGM selama enam bulan atau setahun lagi bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment