Like Us

Monday, 16 September 2013

Bahasa Inggeris wajib lulus 2016: Mampukah kita?


HASRAT kerajaan menjadikan subjek Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bermula 2016 mendapat reaksi pelbagai pihak. Perkara ini tentu juga menarik perhatian warga pendidik, para pelajar dan tentu sahaja ibu bapa. 
 
Bagi yang menerima dengan cara positif, maka positif lah pandangannya. Namun ada juga yang memperlekehkan tahap kemampuan pelajar di negara ini dan mutu pendidikan negara bagi mencapai misi itu.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ini boleh dicapai. 
 
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pada masa ini pun, jumlah peratusan pelajar yang lulus mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah kira-kira 60 peratus.
 
Katanya, Kementerian Pendidikan sudah merangka dan memulakan pelbagai program bagi tujuan meningkatkan tahap penguasaan para pelajar serta guru bagi mata pelajaran tersebut.
 
“Dalam tempoh tiga tahun sebelum syarat itu dilaksanakan memberi peluang kepada pelajar dan warga pendidik untuk meningkatkan tahap penguasaan. 
 
Menurut pihak pembangkang, kerajaan perlu terlebih dahulu mempersiapkan prasarana yang mencukupi dan tidak ada mana-mana sekolah keciciran jika mahu subjek Bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus. 
 
"Wajibkan belajar saya setuju, tingkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris saya setuju, wajib lulus dalam keadaan belum menentu, mutu guru, kemudahan belajar, kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah desa luar bandar termasuk sekolah aliran Cina dan Tamil - itu harus diteliti dahulu.
 
"Saya tidak fikir wajar diwajibkan lulus sebelum prasarana itu betul-betul siap," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Persoalannya, dengan masa yang masih berbaki tiga tahun ini, mampukah hasrat memperkasakan Bahasa Inggeris di negara ini menjadi kenyataan?
 
Apakah mekanisme yang boleh dicadangkan bagi menambahbaik mutu pendidikan anak bangsa kita? Paling penting, ia bukan cakap-cakap kosong dan tidak berakhir dengan 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja.



No comments:

Post a Comment