Like Us

Monday, 16 September 2013

Kematian Chin Peng tak mampu padam kebencian


SHAH ALAMMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kematian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang hidup dalam buangan di Thailand tidak akan memadamkan rasa kebencian dalam kalangan balu polis dan tentera yang telah mengorbankan ramai pejuang negara.

Sehubungan itu, tegasnya adalah tidak wajar sekiranya mayat mendiang dibawa pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

Menurut beliau, Chin Peng tidak layak menerima penghargaan dan penghormatan kerana mendiang bukanlah seorang pejuang kemerdekaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Tidak mungkin veteran polis dan tentera menerima mayat atau abunya sekalipun untuk dikebumikan di Malaysia.

“Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan sebagaimana dakwaan beberapa pihak termasuk parti politik, NGO atau individu tertentu, beliau tetap ketua pengganas komunis yang tidak boleh diterima di bumi ini,” katanya yang dipetik daripada mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), hari ini.

Menurut Laporan Bangkok Post awal pagi ini menyebut, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 90, meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 6.20 pagi tadi di sebuah hospital di Bangkok.

No comments:

Post a Comment