Like Us

Sunday, 15 September 2013

'Ipoh City Fun Ride' cara baru promosi Ipoh


IPOH - Program kayuhan 'Ipoh City Fun Ride' diyakini dapat meningkatkan lagi daya tarikan bandar raya Ipoh dalam kalangan pelancong, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak Nolee Ashilin Mohd Radzi.
Katanya program sempena Hari Malaysia ke-50 dan Tahun Melawat Malaysia 2014 itu merupakan pakej tambahan Program Jejak Warisan Ipoh yang dilaksana kerajaan negeri.
"Program ini bertujuan membawa pelancong melawat tempat yang menarik dan bersejarah sambil menghayati bangunan warisan yang mempunyai daya tarikan tersendiri di sekitar bandaraya ini," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau ditemui selepas melancarkan program anjuran bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Persatuan Interaksi Kebudayaan Malaysia (MICA) itu, di Kinta River Walk hari ini.
Katanya program itu membabitkan 2,000 peserta dari dalam dan luar negara dengan jarak kayuhan 50 kilometer bermula dari Dataran MBI hingga ke pekan Tanjung Rambutan sebelum berpatah balik.
Katanya bermula November ini MBI akan menyewakan basikal kepada pelancong bagi pelaksanaan Program Jejak Warisan Ipoh.
"Sebanyak 28 buah basikal yang ditempah khas dari China melibatkan kos sebanyak RM50,000 disediakan untuk disewa oleh pelancong," katanya.
Nolee Ashilin berkata MBI juga menyediakan 10 basikal untuk unit polis pelancong melakukan rondaan di sekitar bandar raya itu bermula November ini.
"Saya berharap program ini akan dilakukan secara berterusan supaya ia dijadikan satu produk pelancongan yang penting dalam aktiviti pelancongan bandar," katanya.- Bernama


No comments:

Post a Comment