Like Us

Thursday 10 October 2013

Anak pemandu lori terima pingat


Nurul Syazwana (kiri) menunjukkan Anugerah Cemerlang 
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah J-Qaf kepada suaminya.

KUALA LIPIS - Seorang anak pemandu lori dinobatkan Penerima Anugerah Cemerlang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Jawi-Quran dan Fardu Ain (J-Qaf), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPKTAA) Lipis.

Nurul Syazwana Mat Yasin, 25, berkata, dia tidak pernah malu dilahirkan sebagai anak pemandu lori, malah sentiasa mengingati pesanan ayahnya iaitu tidak kenal erti penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

Anak kepada pasangan Mat Yasin Mamat, 48, dan Noraini Sulaiman, 47 itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 yang melayakkannya menerima anugerah berkenaan.

"Walaupun ayah bekerja sebagai pemandu lori tapi dia dapat membesarkan kami adik-beradik dengan keperluan pendidikan yang baik sebagai bekalan hidup. Saya kagum dengan ayah dan dia menjadi pembakar semangat saya untuk capai kejayaan.

"Kejayaan ini juga menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain. Anugerah ini saya hadiahkan kepada ayah dan emak tersayang," katanya selepas menerima anugerah itu sempena Majlis Konvokesyen Kali ke25 IPKTAA di sini, semalam.

Majlis konvokesyen disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama, Sultanah Kalsom dan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Pada majlis itu baginda menyampaikan diploma kepada 170 graduan dalam pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Pendidikan Pra Sekolah (Kemas), J-Qaf dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia - Kursus Dalam Cuti (KDC).

Ditanya tentang kejayaannya itu, Nurul Syazana berkata, antara faktor lain yang banyak membantunya mendapat keputusan cemerlang adalah sokongan serta dorongan suami, Muhammad Khairul Faiz Hamidzi, 28, dan anak, Muhammad Khaleel Fahmy, 1.

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan suami dan anak namun saya kuatkan semangat untuk membuktikan bahawa saya mampu menjadi pelajar cemerlang.

“Saya juga terhutang budi dengan barisan pensyarah dan rakan di IPGKTAA yang banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya mendapat apa yang dicapai sekarang," katanya yang berasal dari Mentakab.

No comments:

Post a Comment