Like Us

Sunday 6 October 2013

Kembalikan PENGARUH ULAMA PAS

Nakhaie Ahmad 

ISU kedudukan ulama dalam Pas kini jadi polemik setelah resolusi multaqa ulama di Alor Setar baru-baru ini yang minta tahaaluf siyaasi dengan PKR dikaji semula, ditolak oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Susulan itu, muncul kecurigaan bahawa kedudukan ulama Pas kini semakin terhakis dalam keadaan parti itu kian didominasi oleh mereka yang bukan ulama, daripada kalangan profesional dan aktivis yang ditambah satu lagi darjat kecurigaan terhadap mereka, dikatakan proksi pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi menilai semula senario ini - apakah ia baik untuk Pas atau memudaratkan lagi parti itu.

Sinar Harian mendapatkan pandangan Datuk Nakhaie Ahmad, bekas Naib Presiden Pas sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk merangka draf pindaan  perlembagaan baru parti itu yang memartabatkan konsep kepimpinan ulama pada 1982.

Nakhaie juga, dalam kenyataannya kepada wartawan NURULFATIHA MUAAH dan jurufoto, ZULFADHLI ZAKI menegaskan bahawa kuasa tertinggi dalam parti politik seperti Pas adalah muktamar atau mesyuarat agung, bukan presiden atau jawatankuasa.

Jika ahli akar umbi Pas mahu kedudukan ulama diperkasakan semula, mereka harus memanfaatkan peluang menerusi muktamar agung ke 59 pada 22 hingga 24 November ini untuk menyatakan pendirian bagi memastikan hala tuju Pas sebagai  parti yang memperjuangkan Islam, tidak berubah haluan.


Muktamar Pas berlangsung November ini, apa yang perlu mereka fokuskan?
Mereka kena bincang soal perpaduan antara orang Islam dalam negara dan tidak menjadikan soal kepentingan perpaduan orang Islam itu sebagai isu perbalahan politik.
Semua parti politik Islam mesti akur bahawa perpaduan ini penting untuk keselamatan bagi memastikan mereka berkuasa di negara ini.

Jadi soal perpaduan harus difikirkan melampaui matlamat politik kepartian.
 

Satu isu dalam Pas pada hari ini ialah hal kedudukan ulama. Penolakan usul multaqa ulama di Kedah yang mahu tahaaluf siyaasi dengan PKR dikaji semula, ditolak oleh kepimpinan Pas Pusat. Kehadiran golongan profesional dan aktivis yang semakin ramai dalam Pas dikatakan telah menjejaskan pengaruh ulama. Bagaimana Datuk melihat keadaan ini?

Idea kepimpinan ulama sebenarnya dipengaruhi konsep ‘Wilayatul Faqih’ digagaskan Ayatollah Khomeini di Iran. Ia dihayati Pas setelah Pas mempunyai hubungan baik dengan Iran selepas berlakunya Revolusi Iran. Penerimaan itu dipelopori Dewan Pemuda Pas yang mengadakan muktamarnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 21 Oktober 1982.


Mereka yang mula menggagaskan konsep kepimpinan ulama. Saya sebagai Naib Presiden Pas ketika itu ditugaskan membuat beberapa pindaan Perlembagaan Pas, memasukkan kehendak itu dalam perlembagaan yang dinamakan Majlis Syura Ulama, dipimpin oleh Mursyidul Am.

Saya yang rangka draf itu dan ia diluluskan Jawatankuasa Agung Pas yang kemudian diterima muktamar.

Saya tidak merasakan ia adalah satu kesilapan untuk kita mengambil perkara baik daripada mana-mana pihak dan tujuannya ialah untuk memastikan Pas terus berada di landasan Islam, dipimpin mereka yang tahu mengenai ajaran Islam.

Pada pandangan saya, kita tidak boleh terima ajaran Syiah yang didokong oleh ulama Syiah itu. Kita hanya ambil strukturnya sahaja, tetapi pengisiannya hendaklah berasaskan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Malangnya, ekoran hubungan Pas dan Iran, ramai orang Pas terpengaruh dengan Syiah Ada yang menghantar anak atau mempengaruhi sebahagian daripada orang Pas untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah agama di Iran seperti di Qom.

Saya yakin, Majlis Syura Ulama Pas tidak mudah dipengaruhi ajaran Syiah kerana mereka faham dan dapat membezakan antara Syiah dan ASWJ seperti Datuk Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas) dan ahli Dewan Ulama Pas.

Namun bagaimana dengan ahli Pas yang terpengaruh dengan ajaran Syiah ini? Saya harapkan Majlis Syura Ulama dan pemimpin Pas dapat menangani isu ini dengan bijaksana kerana jika pengaruh Syiah ini membesar, isu perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini akan bertambah rumit.

Sedangkan, perpecahan melibatkan fanatik politik memberi kesan besar sehingga masyarakat bukan Islam berani mengganggu dan masuk campur dalam kepercayaan dan amalan agama orang Islam seperti isu kalimah ALLAH dan isu berkaitan dengan khutbah Jumaat.


Bagaimana keadaan Pas ketika fahaman Syiah itu menular pada masa lalu, berbanding sekarang?

Dahulu, sokongan Pas terhadap Revolusi Iran itu semata-mata berkait politik antarabangsa. Pas menyokong rakyat Iran menentang politik Amerika Syarikat (AS) yang ingin menguasai dunia Islam, tetapi, pengaruh Syiah tidak berlaku ketika itu sebagaimana sekarang.

Ketika itu, Pas dan kepimpinannya termasuk saya boleh dipersalahkan juga kerana tidak mengambil langkah bagi membendung pengaruh Syiah di kalangan ahli Pas dan tiada larangan tegas terhadap usaha ahli yang menghantar anak mereka belajar di institusi pendidikan Syiah di Iran.

Dari situ, bertitik tolak Syiah dalam Pas kerana kesilapan ini menyebabkan pelajar pulang dengan akidah Syiah menyumbang ajaran itu sehingga ke tahap sekarang ini. Keadaan Syiah dalam Pas sekarang agak teruk berbanding pada zaman 70-an dulu.


Kenapa kepimpinan ulama sangat dititikberatkan pada waktu itu?

Sebenarnya, cadangan Pemuda Pas itu berlaku secara spontan dan kemudiannya dimasukkan ke dalam struktur Pas dengan kesedaran bahawa perjuangan Islam itu mestilah memelihara prinsip Islam secara bersungguh-sungguh.

Ini kerana, Jawatankuasa Agung Pas boleh terdiri daripada mana-mana golongan termasuk di kalangan mereka yang kurang faham Islam. Dengan sebab itu, Majlis Syura Ulama yang terdiri daripada ulama Pas ini boleh memantau dan memastikan perjalanan Pas di atas landasan syariah yang jelas dan tegas.

Ketika itu, ramai yang menolak kepimpinan Tan Sri Mohd Asri Muda, adakah kepimpinan ulama ini mempunyai kaitan dengan waktu penolakan beliau?

Pengunduran Tan Sri Mohd Asri lebih merupakan jurang generasi di mana pemimpin-pemimpin muda Pas banyak terdedah kepada gerakan Islam di peringkat antarabangsa dan pemikiran Ikhwanul Muslimin serta Jemaah Islamiah Pakistan. Sewaktu itu, mereka masih di dalam Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), sedangkan Tan Sri Mohd Asri masih lagi dengan idea politik Islam tradisional.

Jurang itulah yang menyebabkan perbezaan fahaman yang jauh antara pemimpin-pemimpin Pemuda Pas pada waktu itu dan juga kumpulan pemimpin lama Pas, yang bersama dengan Tan Sri Mohd Asri.


Bagaimana respons ahli Pas ketika usul kepimpinan ulama dibangkitkan?

Tiada bantahan, bahkan ahli Pas gembira dengan perubahan itu dan sokongan terhadap Pas ketika itu makin bertambah. Ahli Pas yang meminggir diri kerana membantah penyertaan Pas dalam BN suatu ketika dulu, kembali semula kepada Pas dan berjuang di bawah kepimpinan ulama.

Pas di bawah kepimpinan ulama kembali segar setelah begitu ‘layu’ apabila disingkirkan daripada BN.

Memang pada waktu itu, Pas sangat tidak bermaya dengan berundurnya Tan Sri Asri. Apabila Pas berada di bawah kepimpinan ulama, kekuatan Pas kembali sama seperti sebelum penyertaan Pas dalam BN dulu.


Adakah kepimpinan ulama bakal mengembalikan Pas pada hari ini sama seperti semasa ia diperkenalkan?

Di bawah kepimpinan ulama, Pas mula mengadakan hubungan dengan masyarakat bukan Islam dengan memulakan dialog bersama pelbagai pertubuhan Cina. Saya masih ingat lagi, perhimpunan yang diadakan dengan kerjasama pertubuhan Cina ini dihadiri ribuan orang Cina sehingga satu badan iaitu Chinese Consultative Council (CCC) ditubuhkan untuk menguruskan perhimpunan itu.

Hasil perhimpunan itu, Pas mengadakan tahaaluf siyaasi pertama dengan masyarakat bukan Islam yang dianggotai parti-parti politik kecil dan juga beberapa NGO Cina. Kandungan tahaaluf ini bertulis.

Antara persetujuan pentingnya ialah semua pertubuhan yang menandatangani pakatan itu hendaklah menghormati perjuangan Pas menegakkan negara Islam. Pada masa itu, masyarakat Islam mungkin tidak dapat menerima pakatan seperti itu walaupun Pas mempunyai pendirian tegas terhadap prinsip perjuangannya.

Masyarakat bukan Islam pun melihatnya sebagai sesuatu yang asing, apa lagi hubungan masyarakat Cina dengan Pas itu ditentang habis-habisan oleh MCA dan DAP.


Saya sendiri pernah mengadakan pertemuan dengan DAP untuk DAP menyertai tahaaluf ketika itu, tetapi ditolak Lim Kit Siang. Walaupun kerjasama sulit untuk pilihan raya pernah diadakan antara Pas dan DAP, tetapi kerjasama itu secara lisan sahaja.

Tahaaluf pada masa ini pula berjaya diadakan dengan DAP kerana Pas banyak berkompromi dan sekurang-kurangnya sanggup mendiamkan prinsip perjuangan menegakkan negara Islam dan lain-lain kompromi berkaitan soal prinsip perjuangan Islam.

Atas sikap kompromi prinsip itu, mereka terpaksa menerima risiko apabila orang Islam khususnya Melayu makin menyedari bahaya tahaaluf Pas dengan DAP ini. Mereka memberi sokongan dalam PRU12 kerana tidak sedar pada mulanya.

Pada PRU13, ramai orang terutama Melayu mula sedar dan mereka kembali menyokong Umno walaupun agak keberatan. Justeru Umno mendapat kerusi lebih besar di kawasan majoriti mutlak Melayu. Pas hanya kekalkan sokongan orang bukan Islam di bawah pengaruh DAP iaitu kawasan yang seimbang antara pengundi Melayu dan Cina, seperti di Selangor.

Adakah tahaaluf siyaasi bersama DAP pada masa ini merugikan Pas?

Ya, merugikan, tetapi bergantung kepada bagaimana tahaaluf Pas yang ada sekarang ini boleh menjadikan Pakatan Rakyat (PR) itu kuat, disokong oleh orang Melayu dan Cina. Bagainamapun, orang Melayu bimbang kerana Pas banyak kompromi sehingga jadi penghalang kepada orang Melayu untuk menyokong tahaaluf itu.


Bagaimana mahu kembalikan semangat Pas seperti masa lalu?

Seperti yang saya maklumkan, Pas di bawah kepimpinan ulama yang memulakan langkah tahaaluf ini, bukan profesional.

Namun, disebabkan golongan muda dari kalangan profesional dan ulama tidak sabar menginginkan sokongan orang bukan Islam secara cepat, mereka mengumpan menerusi konsesi dan tolak ansur termasuk soal prinsip.

Inilah yang melemahkan Pas sekarang ini. Ulama-ulama Pas sebenarnya menyedari bahawa Pas sukar mencapai kemenangan sekiranya hanya bergantung kepada sokongan Melayu sahaja.

Tahaaluf yang diadakan sebenarnya boleh menguntungkan Pas sekiranya ia berjaya meyakinkan DAP supaya menghormati perjuangan Pas menegakkan negara Islam dan konsep negara Islam itu hendaklah diterangkan dengan jelas dan diolah supaya ia dilihat sebagai negara madani yang berteraskan prinsip-prinsip Islam yang universal.

Konsep ini gagal diketengahkan kepimpinan ulama Pas sehingga DAP menolak dan tidak berkompromi dengan perjuangan Pas.


Kedudukan ulama dalam Pas dikatakan kian terhakis dan kurang dihormati oleh cubaan mendominasi kumpulan profesional serta aktivis apabila berlakunya penolakan resolusi multaqa ulama di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. Sejauh mana dakwaan itu?

Kepimpinan ulama gagal menggagaskan konsep negara Islam Madani yang sesuai dengan kemajmukan masyarakat dan realiti dunia hari ini. Perwakilan Pas sebaliknya memberi kepercayaan kepada golongan profesional berpendidikan sekular memainkan peranan penting dalam Pas sekarang.

Saya percaya, perwakilan Pas masih beranggapan bahawa kepimpinan ulama tidak mampu membawa kejayaan kepada Pas.

Mereka memerlukan kepimpinan ulama, tetapi pada waktu sama mereka juga mahu melihat ulama benar-benar boleh memimpin perjuangan politik yang relevan dengan keperluan semasa.

Dalam isu resolusi multaqa ulama ini, perkara itu akan dinilai perwakilan jika ia dibangkitkan dalam muktamar nanti kerana terdapat pandangan yang bertentangan antara Jawatankuasa Agung Pas yang dianggotai presiden, timbalan dan naib presiden dengan Dewan Ulama Pas.


Kuasa tertinggi terletak pada muktamar, bukan presiden. Masing-masing punya pendapat sendiri untuk dipertahankan. Mereka bekerja keras untuk meyakinkan perwakilan mengenai pandangan masing-masing. Jika pemimpin dari kalangan bukan ulama ditolak muktamar, kepimpinan Pas pada masa akan datang akan kembali kepada kepimpinan ulama.

Terpulang kepada perwakilan untuk buat pilihan.

Sejak dulu, jawatan Presiden Pas tidak pernah dipertandingkan kerana ahli terlalu menghormati ulama. Timbalan Presiden pula dilihat sebagai pelapis, yang juga semestinya ulama dan mampu mengambil alih tempat Presiden apabila tiba masanya. Tetapi kini, jawatan Timbalan Presiden Pas sudah jadi kerusi rebutan dan sekarang tidak lagi diduduki oleh ulama. Mengapa hal yang seperti ini terjadi?

Ya, masa itu orang memang percaya kepada kepimpinan ulama, tetapi bukanlah tidak berani menentang (penyandang), sebaliknya mereka berkehendakkan demikian.


Namun, apabila ulama tidak menunjukkan prestasi baik, ahli mula ragu sehinggalah Mat Sabu (Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Pas) menang jawatan Timbalan Presiden pada 2011. Ia menunjukkan bahawa perwakilan Pas mula tidak yakin kepada kepimpinan ulama.

Memang benar tiada perubahan besar dalam Pas diwujudkan kepimpinan ulama dan tiada apa yang signifikan, jadi mulalah perwakilan Pas cuba menukar kepimpinan mereka.

Sekarang, Pas mula bercakap kepimpinan ulama apabila perwakilan memberi kepercayaan kepada kepimpinan bukan ulama, iaitu kebimbangan lebih besar terhadap perjuangan Pas itu berlaku.

Bagaimanapun, kepimpinan ulama Pas mestilah membuktikan keupayaan mereka untuk pimpin gerakan politik selari dengan situasi negara pada masa kini dan juga situasi politik antarabangsa.


No comments:

Post a Comment