Like Us

Wednesday 2 October 2013

Guru’ perlu mohon jawatan



Kota Kinabalu: Graduan pendidikan yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu mengemukakan permohonan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 kepada pihak berkuasa.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur penempatan secara automatik selepas tamat pengajian tidak lagi dilaksanakan bertujuan bagi memastikan pelantikan guru baru yang dipilih adalah calon berkualiti.

“Sejak tahun lalu, semua graduan pendidikan yang menamatkan pengajian di IPTA dan IPGM perlu mengemukakan permohonan jawatan berkenaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di mana mereka perlu menjalani penilaian serta temuduga.
“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia sudah selesai menguruskan pelantikan dan penempatan graduan keluaran 2012 di mana sejumlah 7,607 graduan yang berjaya dalam temuduga dan Penilaian Khas SPP sudah dilantik sebagai PPPS DG41 pada 1 Julai lalu,” katanya pada majlis perjumpaan khas bersama warga Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Zon Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jame Alip.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan SPP bagi melaksanakan urusan temuduga graduan yang menamatkan pengajian keluaran 2013 pada bulan Jun hingga Ogos lalu membabitkan 9,387 orang. Sementara itu, dalam sidang media, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan memberi peranan lebih besar kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam melaksanakan projek pembangunan sekolah.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan segala projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Perkara ini sudah dibangkitkan kerajaan negeri dan oleh sebab itu, kita sudah berbincang di peringkat kementerian dan bersetuju menurunkan kuasa di peringkat negeri untuk Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan luas, banyak perkara perlu diuruskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Barisan Nasional sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah dan hanya menunggu tarikh pengundian yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

“Saya sudah meminta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa jentera yang digerakkan mulai sekarang bagi menghadapi PRK itu nanti,” katanya.


No comments:

Post a Comment