Like Us

Friday 11 October 2013

IKAT PERUT demi ANAK????


KLUANG - Sepasang suami isteri di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, di sini, sanggup mengikat perut dan hidup dalam serba kekurangan semata-mata untuk melihat empat anaknya berjaya.

Suramin Sirat, 66, perlu dicontohi masyarakat luar kerana sanggup bersusah payah demi menanggung kos pembelajaran anak mereka.

Suramin dan Ramlah Mahmud, 47, mengurangkan perbelanjaan dapur setiap bulan semata-mata untuk menanggung kos pembelajaran anak-anak yang berada di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej swasta.

Suramin berkata, walaupun anak-anaknya menerima bantuan, dia tetap mengirimkan wang untuk mereka.

“Sebagai seorang bapa, saya terpaksa berkorban mengurangkan perbelanjaan dapur. Apa yang saya harapkan anak-anak saya berjaya dan peroleh pekerjaan yang baik.

“Dengan wang pendapatan lebih kurang RM500 sebulan hasil kerja sendiri, saya gunakan untuk membayar bil elektrik, air dan perbelanjaan dapur serta wang saku anak-anak.

“Kami juga terpaksa dibasahi hujan kerana keadaan bumbung rumah yang telah bocor namun tidak dapat dibaiki demi duit saku anak," katanya.

Tambah memilukan, keluarga ini berdepan satu lagi ujian apabila Ramlah menghidap penyakit buah pinggang.

Katanya, penyakit yang ditanggung isterinya itu memerlukan rawatan hemodialisis setiap minggu.

“Tetapi isteri saya tidak mahu menyusahkan anak-anak dan kami berdua akan berusaha mencari dana bagi mendapatkan rawatan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Suramin berkata, kini anak sulungnya sudah bekerja dan mengurangkan beban ditanggung untuk menyara tiga anak yang masih belajar di peringkat ijazah dan diploma dengan masing-masing dalam jurusan akauntan, perubatan dan peguam syariah.  

“Dahulu memang agak susah, alhamdulillah sekarang anak sulung saya sudah habis belajar dan bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Johor Bahru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang, Radzali Mohd Noor yang mengadakan tinjauan ke rumah pasangan berkenaan berkata, pihaknya akan mengusahakan bantuan khas bagi membaik pulih bumbung rumah itu.

“Pasangan ini sebenarnya layak mendapat bantuan melalui program 1MDB (1Malaysia Deveploment Berhad) yang dilancarkan awal tahun ini, namun kesal kerana ada individu seperti terlepas pandang nasib keluarga ini.

“Memang kita tahu, semua anak-anaknya belajar di pusat pengajian tinggi, tapi seharusnya kita juga perlu melihat dari mana sumber yang diperoleh warga emas ini untuk melanjutkan pelajaran anak-anaknya.

"Bagaimanapun, kita akan cuba bantu warga emas ini dari segi membaikpulih bumbung rumahnya ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment