Like Us

Wednesday 16 October 2013

Kecoh peniaga enggan pindah

GUA MUSANG – Arahan pindah ke tapak pasar malam baru di Bandar Chiku, dekat sini, petang Khamis lalu, kecoh apabila kira-kira 20 peniaga yang berdegil enggan berpindah walaupun mereka sudah diberi surat notis sebulan untuk berbuat demikian.

Seramai sembilan anggota Penguatkuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dibantu anggota polis mengarahkan peniaga pasar malam itu berpindah ke tapak baru yang disediakan berhampiran pasar baru tidak jauh dari situ.

Arahan tegas itu dikeluarkan berikutan hanya 20 peniaga yang berdegil berbuat demikian manakala 168 peniaga lagi akur dengan arahan berkenaan.

Ketika anggota MDGM mengarahkan peniaga terbabit merobohkan khemah perniagaan mereka berlaku sedikit perselisihan faham.

Peniaga menganggap tindakan MDGM itu menjejaskan perniagaan mereka selain merayu supaya membenarkan menjalankan perniagaan di kawasan itu untuk minggu itu sahaja.

Bagaimanapun, dengan tindakan tegas anggota penguatkuasa, peniaga akhirnya akur untuk berpindah dengan memuatkan barang perniagaan mereka ke atas lori MDGM bagi peniaga yang tidak mempunyai kenderaan.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDGM, Mohd Hisham Hassan berkata, MDGM sudah menyediakan tapak yang lebih selesa kepada peniaga pasar malam bersebelahan dengan pasar Bandar Chiku yang baru siap dibina.

Beliau berkata, tapak pasar malam lama memang tidak sesuai lagi kerana terlalu padat dengan peniaga yang bertambah ramai disamping timbul kesesakan lalu lintas berikutan tapak lama terletak di tepi jalan masuk ke bandar berkenaan.

Katanya, MDGM sudah mengeluarkan surat notis lebih awal kepada setiap peniaga terbabit dan tidak sepatutnya ada peniaga yang berdegil berbuat demikian.

Sementara itu, Setiausaha Pasar Segar Wilayah Kelantan, Nik Hassan Ismail ketika ditemui pula berkata, pasar malam itu pada dahulunya dibuka Felda sebagai pasar segar untuk peneroka memasarkan hasil tanaman, daging ternakan dan ikan kolam.

Beliau berkata, pasar itu semakin bertambah ramai yang turut membabitkan peniaga luar dan hasil kutipan daripada peniaga terbabit juga untuk diisi dalam tabung pasar segar bagi memudahkan perbelanjaan untuk kemajuan pasar berkenaan jika ada keperluan lain.

“Sekarang hanya pasar segar itu satu-satu pasar Felda yang masih hidup dan aktif di negara ini” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengakui apabila peniaga sudah diarahkan berpindah ke tapak pasar baru oleh MDGM sudah tentu pasar segar itu akan terkubur tanpa ada pungutan hasil lagi selepas ini.

No comments:

Post a Comment