KALAULAH saya suami yang tidak pernah marah, menegur,
merungut, atau mengeluh, saya percaya dalam beberapa bulan sahaja,
isteri pasti akan berasa menyampah habis setiap kali melihat muka saya.
Lebih teruk, saya mungkin dianggap suami dayus ataupun bodoh walaupun 'saya tidaklah bodoh sangat!'
Rumah tangga kami sudah pasti teramat membosankan. Itulah yang saya
percaya dan saya percaya, itulah juga yang dipercayai ramai orang!
Walaupun ketika berkonflik, semua orang akan mempersoal malah menyesal
kerana menganggap pasangannya adalah yang paling teruk di dunia, namun
percayalah, dia pasti akan lebih menyesal jika mendapati pasangannya itu
adalah manusia yang hanya tahu senyum dan mengangguk sepanjang masa!
Saya teringat untuk menulis hal ini semalam apabila isteri minta tengok
laporan akhbar mengenai satu kajian bahawa suami isteri perlu bergaduh
sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Menurut laporan itu, tinjauan Lembaga Penyelidikan Pemasaran India
(IMRB) mendapati pasangan yang bertengkar sekali dalam seminggu dianggap
masih boleh berkomunikasi secara terbuka dan tidak hanya mendiamkan
diri ketika marah.
Ini menunjukkan pertengkaran membantu merapatkan hubungan suami isteri
dan memulihkan salah faham. Justeru, ia amat penting dalam rumah tangga.
Daripada pengalaman, kenyataan itu memang tidak ragu-ragu untuk saya akui.
Pertengkaran selagi masih dalam lingkaran kasih sayang dan
pertanggungjawaban, bagi saya adalah suatu ekspresi kesungguhan.
Syaratnya, jangan sampai ada maki hamun atau sepak terajang yang boleh
membuat pasangan trauma atau berasa terhina!
Kadang kala pertengkaran juga membuat kita lebih memahami pasangan.
Hayati bait lirik lagu Tan Sri P Ramlee:
Sedangkan lidah lagi tergigit
apa pula suami isteri
buang yang keruh, ambil yang jernih
barulah teguh peribadi ...
apa pula suami isteri
buang yang keruh, ambil yang jernih
barulah teguh peribadi ...
Ya, lama dulu kita sudah disedarkan bahawa konflik suami isteri ada
hikmahnya untuk lebih bahagia. Ini untuk kita insaf i bahawa kita tidak
boleh hidup dalam hanya satu atau dua warna.
Dalam buku Aduhai Isteri halaman 53-56, saya menulis bahawa ketika
berkonflik, suami isteri harus sentiasa sedar dan ingat mengenai
hakikat cinta dan kasih sayang sesama mereka selain menanam teguh dalam
hati bahawa konflik bukan semata-mata mahu cari pasal untukbergaduh dan
pasangan pula bukan musuh.
Akhirnya kita akan mendapati bahawa pertengkaran dalam hubungan suami
isteri sebenarnya adalah sangat indah, pergaduhan boleh bawa hikmah.
Syaratnya seperti yang saya nyatakan tadi, jangan ada maki hamun atau
sepak terajang apa lagi menyebut sesuatu yang tidak seharusnya -
berpisah!
Mengapa saya kata hal yang bagi sesetengah orang adalah sangat tidak elok itu sebagai hikmah, atau sesuatu yang indah?
Bayangkan sahaja begini, setelah puas bertengkar, melepas habis apa
yang terbuku di hati, kita lazimnya akan sedar, insaf bahawa orang yang
kita sudah kata macam-macam itu sebenarnya adalah insan yang paling kita
sayang, orang yang selama ini menjaga kita, orang yang selama ini jadi
teman kita di kala susah dan senang, orang yang sudah terlalu banyak
jasanya kepada kita, berkorban untuk kita dan bagi suami, insan itulah
juga yang bersabung nyawa melahirkan zuriat kita!
Apakah dalam keinsafan yang seperti itu masih tega lagi dalam hatimu wahai kawan untuk terus membencinya?
Sudah pasti tidak melainkan jika kamu benar-benar berhati syaitan!
Justeru, ketika itulah saya percaya bahawa hati kita yang sebenarnya
sudah siap ditanam dengan kasih sayang yang sejati akan diselubungi
sepenuhnya oleh kekesalan yang amat sangat.
Ada baiknya dalam keadaan seperti itu, biarlah sama-sama menangis,
mengulang sebut pengakuan bersalah, memuji-muji pasangan sebagai
manifestasi penyesalan.
Dan percayalah juga bahawa dalam keadaan itu, hati manusia mana
sekalipun pasti akan sanggup untuk membuat penyerahan diri yang total
kepada pasangannya, zahir dan batin dengan sepenuh kasih sayang.
Sebagai suami isteri ataupun insan yang sudah dewasa, kita
masing-masing tentunya amat memahami apa yang seharusnya berlaku selepas
itu. Sebab itulah juga saya 'menegur' isteri saya apabila dia 'tagged'
laporan akhbar itu dalam 'wall' Facebook saya dengan kata-kata "jom
gaduh..."
Ya, saya segan walaupun dia semata-mata ajak saya bergaduh dan saya sendiri pun sememangnya suka bergaduh!
No comments:
Post a Comment