Isu mengenai keupayaan kemampuan dan kelayakan guru adalah antara dilema besar yang membelenggu dunia pendidikan negara.
Realitinya walaupun golongan itu banyak diberi kelebihan dan ruang
penambahbaikan, masih wujud kesangsian terhadap keupayaan serta
kredibiliti guru dalam melaksanakan tugasan.
Termasuk juga usaha meninggikan lagi taraf kelayakan guru baru
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menyaksikan
hasrat hanya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang saja bakal
ditawarkan tempat mengikuti pengajian mahupun penempatan.
Biarpun begitu, masih ada pertikaian yang tersirat dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru baru dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan serta pengajaran yang semakin kompleks.
Persoalannya, apakah dengan pengenalan atau transformasi dilakukan itu mampu memberi banyak kelebihan kepada dunia pendidikan negara secara amnya?
Biarpun begitu, masih ada pertikaian yang tersirat dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru baru dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan serta pengajaran yang semakin kompleks.
Persoalannya, apakah dengan pengenalan atau transformasi dilakukan itu mampu memberi banyak kelebihan kepada dunia pendidikan negara secara amnya?
Ataupun keupayaan guru baru ini masih boleh dipersoalkan mana-mana pihak?
Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Noor Shah Saad berkata, setiap perancangan atau permasalahan yang mempunyai hubung kait dengan sistem pendidikan negara masih boleh diperbaiki asalkan semua pihak tidak bertindak lepas tangan.
Beliau berkata, kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berani memperkenalkan satu transformasi sistem atau model pendidikan yang baik antaranya melalui PPPM dan kesinambungan itu perlu digembleng bersama pihak lain bagi menjayakannya.
“Kita sentiasa mahu transformasi dilakukan dalam sistem pendidikan negara bagi menyaingi keperluan serta kehendak semasa. Transformasi itu pula bukan mudah dilaksanakan kerana sudah sebati dengan sistem lama.
“Bagaimanapun, pihak terbabit seperti KPM melakukan juga pelbagai anjakan baru demi memenuhi permintaan dunia pendidikan terkini. Langkah ini bertepatan bagi memastikan sistem sedia ada tidak ketinggalan.
“Namun, ia perlu digembleng bersama pihak lain kerana tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu KPM semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, antara matlamat PPPM ialah melahirkan guru yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang.
“Hasrat itu perlu disokong kerana ia mengangkat martabat bakal guru baru supaya lebih berkualiti di pasaran kerjaya.
“Namun, ada beberapa isu yang mungkin timbul seperti apakah calon guru yang mempunyai kelayakan akademik baik ini dijamin mampu menjadi guru yang baik?
“Dan, bagaimana pula nasib mereka yang mempunyai kelayakan kurang cemerlang tapi boleh melaksanakan tugas teknikal lain?
“Bagaimana nasib mereka selepas tamat pengajian?” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pengamalan, kelayakan bukan satu jaminan kukuh untuk menjadi guru yang baik kerana masih banyak lagi latihan atau rutin perguruan perlu diikuti sebelum mahir menjalankan tugas.
“Apa disasarkan KPM (mengenai kelayakan guru) adalah usaha yang baik bagi mencerminkan wawasan melahirkan guru berkelayakan cemerlang untuk masa depan.
“Namun, ia perlu memikirkan juga masalah lain yang mungkin timbul akibat pelaksanaan dasar itu seperti masalah keciciran graduan tidak berkelayakan memenuhi prasyarat ditetapkan.
“Dan, mereka yang memenuhi taraf kelayakan pula adakah boleh menjadi guru yang baik dengan hanya bersandarkan keputusan pada sehelai kertas,” katanya mengakui bahawa menetapkan standard bakal guru baru ke tahap tertentu boleh menimbulkan isu timbal balas.
“Ini bukan bermakna saya tidak setuju tetapi hanya menyuarakan pandangan bagi menjawab beberapa kegusaran mungkin timbul.
“Usaha memperkasakan bakal guru baru adalah baik namun pihak terbabit juga perlu bersedia dengan tindakan tertentu bagi menangani masalah berbangkit.
“Lebih baik pelan sokongan turut diperkasakan bagi memastikan usaha dilakukan itu tidak terencat dan mampu berjalan seiring,” katanya.
Beliau berkata, untuk melahirkan guru baru yang baik, pelbagai pendekatan perlu dirancang dan dilaksanakan terutama bagi memastikan mereka boleh melaksanakan tugasan.
Golongan itu katanya, meskipun sudah melepasi piawaian ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) namun masih memerlukan bimbingan berterusan dan berkala.
“Aspek kecemerlangan sudah terbukti dengan pencapaian mereka namun alam pekerjaan adalah sesuatu yang berbeza serta bukan hanya memerlukan tindakan secara teknikal semata-mata.
“Mengapa ada guru baru gagal mengimplikasikan ilmunya apabila memasuki alam pekerjaan sedangkan mereka belajar di institusi yang menjurus kepada pendidikan.
“Apakah kerana tidak mendapat cukup latihan praktikal atau sudah terlalu yakin dengan kemampuan hingga tidak bersedia sepenuhnya untuk mengajar.
“Kejayaan bersifat subjektif. Definisi kecemerlangan bagi golongan terbabit ialah sama ada mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau sebaliknya,” katanya.
Beliau menegaskan proses melahirkan guru baru cemerlang adalah proses berterusan manakala kecemerlangan setiap guru juga boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Negara mempunyai lebih kurang 400,000 guru manakala saban tahun institusi pengajian sama ada universiti atau institut perguruan turut melahirkan bakal graduan dalam bidang pendidikan.
“Kemusykilannya ialah bagaimana pihak terbabit mahu mempertingkatkan lagi keupayaan guru sama ada lama atau baru jika tiada badan khusus yang boleh memberi latihan profesional kepada golongan terbabit.
“Berbanding guru besar atau pengetua, mereka mempunyai Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki (IAB),” katanya.
Ada juga isu tertentu, katanya, turut diberi perhatian seperti pemberian gaji juga insentif.
“Walaupun guru sekarang menikmati keistimewaan namun dibandingkan dengan negara lain, ganjaran itu tidak setimpal dengan bebanan kerja yang terpaksa dilakukan.
“Guru di Singapura, misalnya, menikmati tangga gaji tertinggi di dunia. Dan, ganjaran itu pastinya setimpal dengan nilai tanggungjawab yang dipikul.
“Bukan menidakkan usaha atau ganjaran diberikan kerajaan namun penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan hasrat melahirkan guru berkelayakan cemerlang tidak terjejas,” katanya.
No comments:
Post a Comment