Like Us

Wednesday, 16 October 2013

Prof Kamil: 'Saya impikan semua Muslimin masuk syurga'


BERTEMUA dengan figura ini terasa begitu berbekas di hati malahan isi perbualannya yang begitu dekat dengan khalayak mengingatkan penulis betapa kita sebenarnya mempunyai ruang seluas-luasnya untuk menginsafi perjalanan hidup yang sementara ini.
Apa lagi, beliau juga pernah melalui jalan kelam sebelum menemui sinar setelah bersungguh-sungguh meminta hidayah dan nyata hidayah itu perlu dicari bukannya bergolek begitu sahaja. Beliau yang dimaksudkan ialah Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim, cendekiawan yang kini menumpahkan ilmu dan pengalaman di sebuah Universiti di Madinah.
“Sering kali saya menitiskan air mata mengenangi jalan kehidupan yang pernah dilalui, Sepanjang 42 tahun menjalani kehidupan, ia berombak-ombak di antara keinginan menjadi manusia soleh dan kejahilan diri.
“Saya tidak tahu membaca al-Quran, jika adapun hanya beberapa surah ringkas yang telah dihafal semenjak kecil. Itu pun kerana ayah yang mengajar mengaji dan sembahyang. Namun ia hanya sekadar di situ tanpa ilmu yang lebih lanjut.
“Ilmu agama yang saya peroleh hanyalah berkisar pembelajaran di sekolah rendah, MRSM dan universiti. Itulah yang membentuk pengetahuan asas hingga saya dewasa.
"Namun ia berbeza dengan kejayaan pendidikan rasmi dengan saya berjaya tamat persekolahan rendah dalam masa lima tahun sahaja. Kemudiannya saya muncul sebagai pelajar terbaik dan kedua terbaik kumpulan semasa mengikuti program Diploma dan Sarjana Muda.
“Malahan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana sebulan lebih awal dari masa yang sepatutnya. Manakala PhD pula dianugerahkan selepas 32 bulan mendaftarkan diri. Dalam kerjaya pula, jawatan profesor dianugerahkan ketika umur mencecah 39 tahun.
“Dengan segala pencapaian yang ada, saya tidak menitikberatkan soal agama, kadang-kadang menyegerakan sembahyang dengan kaedah sendiri. Sembayang laju tanpa doa, wirid dan ia benar-benar minimun. Amalam-amalan saya hanya menyentuh perkara wajib yang kadang-kadang tertinggal juga solat tanpa rasa bersalah,” jelas Prof Kamil yang tidak segan membuka kisah silamnya walaupun ia sebenarnya sangat peribadi kerana mahu orang yang membaca ceritanya sedar bahawa masih tidak terlambat bertaubat kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Doa isteri
Namun benarlah kata pujangga, di sebalik kejayaan seorang lelaki adanya seorang wanita dan beliau yang dimaksudkan ialah isterinya Raudzah atau lebih dikenali sebagai Roza dalam penulisannya di blog. Roza karakternya sangat penyabar dan sentiasa menasihati ke arah kebaikan malahan sentiasa bangun malam solat Tahajud dan berdoa supaya Allah membuka pintu hati suaminya untuk berjihad di jalan Allah.
“Ada peristiwa di mana pada Disember 2003, semua mereka berjawatan Profesor Madya dipanggil temu duga untuk jawatan Profesor Gred Khas C. Mengetahui keinginan saya, Roza menasihati saya supaya berdoa memohon ALLAH supaya dianugerahkan jawatan profesor. Jadi, saya mula sembahyang sunat hajat manakala Roza membeli buku-buku ringkas menceritakan kelebihan bersembahyang di waktu tengah malam.
“Setelah 12 bulan menunggu, akhirnya pengumuman telah di buat dan saya antara 13 profesor yang dilantik dengan tunggakan melebihi RM80,000. Peristiwa ini seolah-olah menyedarkan saya dengan rahmat ALLAH. Ketika inilah saya bertekad untuk menunaikan haji bersama-sama Roza yang berdoa selama enam tahun untuk saya merealisasikan impiannya ini.
“Hati saya melonjak-lonjak untuk ke sana namun perasaan takut juga bersilih ganti memikirkan diri yang jahil malahan ada segmen penceritaan yang menggambarkan Makkah adalah tempat pembalasan bagi yang berkelakuan ‘tidak senonoh’ semasa hayat mereka,” jelas beliau lagi yang sentiasa berfikir mengapa fardu haji tidak menjadi penyebab sesetengah golongan masih kekal dalam hidup cara lama, seolah-olah haji tidak membawa perubahan kepada hidup mereka.

Sembahyang taubat
Bagi Prof Kamil sendiri, keinginannya untuk menunaikan fardu haji menggamit hatinya untuk beribadat menyembah ALLAH yang maha esa, bertaubat sesungguh hati dengan menyesali kealpaan diri sendiri yang jauh daripada Allah. Sememangnya dia berdoa dari hati yang paling dalam supaya ALLAH mengampuni dan merahmatinya.
“Hampir kesemua rencana atau ceramah mengatakan kita perlu bertaubat meminta ampun dengan sepenuh hati, berasa berdosa, berniat untuk tidak mengulangi dan kalau boleh menangis serta meratapi dirinya. Ratapan ini pula seharusnya dari bisikan dan suara jiwa dalamannya.
“Dikatakan dosa seseorang hamba kepada ALLAH akan terampun jika syarat-syarat ini dipatuhi, ini dinamakan taubat nasuha. Kita biasa menyebut “Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosaku” selepas sembahyang fardu sebagai rutin doa. Ia kata-kata di bibir yang tidak turun ke hati.
“Jadi, solat sunat taubat dijadikan kemestian menggunakan Doa Taubat Besar dengan menyebut ‘dosa-dosaku’ manakala hati dan minda membayangkan perkara yang telah berlaku selama ini. Doa yang dibaca pula dengan nada sebak namun bukan dalam tangisan. Terasa keikhlasan doa masih belum mencukupi.
“Hari pertama, hari kedua, minggu pertama, minggu ketiga dan bulan pertama, setiap hari berdoa dan berdoa agar ALLAH memberi petunjuk dalam konteks menitiskan air mata. Mungkin ada yang mengatakan ‘kita berdoa, terima atau tidak terpulang kepada ALLAH, mustahil untuk kita mengetahuinya.
“Bagaimanapun, hati tidak fikir begitu. Saya percaya orang yang berdoa dengan penuh keikhlasan akan terasa apabila doanya di dengari. Namun ia tidak boleh digambarkan dan pada Mei 2006, saya berada di Florence, Itali bersama Roza kerana membentangkan kertas kerja. Selama seminggu di sana meneruskan rutin Qiamullail dengan bersembahyang sunat tahajud, hajat dan taubat.
“Malam terakhir di Itali, saya mengambil wuduk dan bersembahyang sunat, tatkala berdoa ‘Ya ALLAH, aku memohon keampunanmu Ya ALLAH, aku mohon keampunanmu Ya ALLAH, aku memohon keampunanmu Ya ALLAH. Ya ALLAH aku bertaubat kepadamu daripada segala dosa yang telah aku lakukan’. Akhirnya air mata bercucuran tanpa dipaksa-paksa. Anugerah ALLAH yang tidak terbandingnya malahan minda terbayang dan yakin ALLAH mendengar permintaan hambanya dan memberi isyarat dalam keadaan yang tidak dijangkakan.
“Itulah perasaan yang menusuk kalbu. Benar atau tidak seluruh tubuh merasai kenikmatan bertaubat terutamanya ketika air mata menitis membasahi pipi. Tidak dapat digambarkan saya mampu bertaubat seindah ini. Ia berlaku ketika mahu menunaikan fardu haji,” jelasnya yang khatam Quran buat pertama kali ketika berada di Masjidil Haram, di hadapan Kaabah.
Buku Travelog Haji tulisan Prof. Kamil mendapat sambutan hangat daripada pelbagai golongan bermula mereka yang mahu menunaikan haji menjadikannya panduan sehinggalah mereka yang mula mencari ‘Nur’ untuk kembali ke jalan yang benar.
“Saya sentiasa berdoa agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat dan terharu dengan sambutan yang diberi. Akhirnya saya membuat sedikit kesimpulan tentang kuasa doa. Ia senjata umat Islam yang telah dijanjikan oleh ALLAH SWT.
“Sejak ia diterbitkan, saya bertemu ribuan kenalan baru, malah dijemput untuk berceramah di merata tempat, bermula di RTM1, surat bukit Jelutong Shah Alam sehinggalah ke Doha, Glasgoq, Leicester dan pelbagai majlis ilmu yang lain.
“Saya sentiasa berdoa agar pembaca tidak merasakan tulisan ini membuatkan mereka merasakan saya dalam golongan takbur, riak dan angkuh. Bagaimanapun Allah memberi keyakinan untuk memulakan dan menyudahkan penulisan ini setelah menerima beberapa pandangan.
“Pelbagai petunjuk ketika berada di Makkah dan Madinah saya abadikan dalam bentuk tulisan untuk mewar-warkan keagungan, keesaan dan kehebatan ALLAH SWT kepada semua khalayak. Ia adalah anugerah dan saya mohon keampunannya jika kelihatan egoistik, riak, angkuh dan sombong kerana saya benar-benar tidak berniat begitu.
“Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat,” katanya lagi yang meletakkan nombor telefonnya untuk dihubungi tanpa sebarang orang perantaraan. Malahan Prof Kamil akan memberikan ceramah secara percuma dengan satu syarat tidak mengenakan sebarang bayaran bagi orang yang mendengar perkongsiannya itu.

Aurat wanita
Setelah menyumbang jasa di bumi Malaysia, kini Prof.Kamil bersama isteri dan dua anaknya menabur bakti di Madinah pula dan menyaksikan panorama yang berbeza daripada tanah tempat lahir. Bermula dengan bahasa, pertuturan, gaya hidup, makanan dan kehidupan wanita di sana sangat berbeza. Malahan beliau juga melihat perbezaan ini sebagai sikap Melayu yang mengamalkan alasan ‘tidak mengapa’ bagi mengabui hakikat sebenarnya.
“Di sini, amat jarang wanita berjalan berseorangan. Apatah lagi untuk berlegar-legar di pusat membeli belah tanpa kehadiran suami atau mahram. Tiada langsung wanita yang memandu kerana ia satu larangan. Hampir keseluruhan wanita Madinah berpakaian hitam. Berstoking. Bila keluar rumah, mereka menutup mulut dan hidung.
“Mungkin membosankan bagi kita yang sentiasa melihat warna-warni dalam pakaian wanita. Namun di mata saya wajah begitu sangat bercahaya, begitu juga tutur katanya. Misalnya, saya selalu menyebut di Malaysia, ‘apakah tanda pakaian seorang wanita sudah sempurna? Mudah sahaja, apabila masuk masjid atau di mana-mana sahaja kita boleh terus solat’.
“Berada di Tanah Haram, mata saya tidak melihat aurat wanita. Namun beberapa hari yang lepas, kami berseminar di sebuah hotel di tanah halal. Masuk sahaja ke lobi, mata terus tertangkap kepada wanita-wanita yang kelihatan sangat asing.
“Begitulah, wanita berbaju hitam di Malaysia kelihatan sangat asing, di sini wanita yang tidak berbaju hitam kelihatan janggal. Sekurang-kurangnya di mata saya, hitam, putih, kelabu, hijau atau lain-lain warna adalah nikmat kurniaan ALLAH yang terpancar pada pakaian. Soalnya, apakah pakaian itu sudah sempurna?
“Bila tetamu berkunjung ke rumah, Roza sering bertanya tetamu wanita, “Di sini kita bersungguh-sungguh menjaga aurat, jaga rambut, jaga kaki dan jaga segala-galanya. Masih mahukah kita memakai kebaya bila pulang nanti? Masih sanggupkah kita memakai kain terbelah betis? Kenapa di lapangan terbang sudah membuka stokin?” akhiri Prof.Kamil lagi dengan niat mahu menegur supaya semua wanita menjaga auratnya dengan bersungguh-sungguh tidak hanya ketika menunaikan ibadat di Makkah sahaja.


No comments:

Post a Comment