KLUANG - Sepasang suami isteri di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, di sini, sanggup mengikat perut dan hidup dalam serba kekurangan semata-mata untuk melihat empat anaknya berjaya.
Suramin Sirat, 66, perlu dicontohi masyarakat luar kerana sanggup bersusah payah demi menanggung kos pembelajaran anak mereka.
Suramin dan Ramlah Mahmud, 47, mengurangkan perbelanjaan dapur setiap
bulan semata-mata untuk menanggung kos pembelajaran anak-anak yang
berada di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej swasta.
Suramin berkata, walaupun anak-anaknya menerima bantuan, dia tetap mengirimkan wang untuk mereka.
“Sebagai seorang bapa, saya terpaksa berkorban mengurangkan
perbelanjaan dapur. Apa yang saya harapkan anak-anak saya berjaya dan
peroleh pekerjaan yang baik.
“Dengan wang pendapatan lebih kurang RM500 sebulan hasil kerja sendiri,
saya gunakan untuk membayar bil elektrik, air dan perbelanjaan dapur
serta wang saku anak-anak.
“Kami juga terpaksa dibasahi hujan kerana keadaan bumbung rumah yang
telah bocor namun tidak dapat dibaiki demi duit saku anak," katanya.
Tambah memilukan, keluarga ini berdepan satu lagi ujian apabila Ramlah menghidap penyakit buah pinggang.
Katanya, penyakit yang ditanggung isterinya itu memerlukan rawatan hemodialisis setiap minggu.
“Tetapi isteri saya tidak mahu menyusahkan anak-anak dan kami berdua
akan berusaha mencari dana bagi mendapatkan rawatan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Suramin berkata, kini anak sulungnya sudah bekerja dan
mengurangkan beban ditanggung untuk menyara tiga anak yang masih belajar
di peringkat ijazah dan diploma dengan masing-masing dalam jurusan
akauntan, perubatan dan peguam syariah.
“Dahulu memang agak susah, alhamdulillah sekarang anak sulung saya
sudah habis belajar dan bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Johor
Bahru,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang, Radzali Mohd Noor
yang mengadakan tinjauan ke rumah pasangan berkenaan berkata, pihaknya
akan mengusahakan bantuan khas bagi membaik pulih bumbung rumah itu.
“Pasangan ini sebenarnya layak mendapat bantuan melalui program 1MDB
(1Malaysia Deveploment Berhad) yang dilancarkan awal tahun ini, namun
kesal kerana ada individu seperti terlepas pandang nasib keluarga ini.
“Memang kita tahu, semua anak-anaknya belajar di pusat pengajian
tinggi, tapi seharusnya kita juga perlu melihat dari mana sumber yang
diperoleh warga emas ini untuk melanjutkan pelajaran anak-anaknya.
"Bagaimanapun, kita akan cuba bantu warga emas ini dari segi membaikpulih bumbung rumahnya ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment