RASULULLAH SAW bersabda tentang fadilat beramal pada 10 hari ini dalam hadis Ibnu Abbas,
“Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai
ALLAH daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijah).” Para sahabat
bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad (perang) di jalan ALLAH?”
Jawab Nabi SAW, “Dan tidak juga jihad di jalan ALLAH, kecuali orang yang
keluar berjihad bersama hartanya dan nyawanya dan dia tidak kembali
dengan satu pun daripadanya.” (Al-Bukhari, Al-Tirmidzi, Ibnu Majah)
Dalam hadis ini Rasulullah menegaskan, amal pada 10 hari pertama
Zulhijah lebih dicintai ALLAH berbanding orang yang berjihad di jalan
ALLAH, yakni berperang melawan orang kafir. Jihad sekalipun tidaklah
lebih utama berbanding beramal pada 10 hari ini, kecuali jika dia
berjihad dengan harta dan nyawanya lalu dia mati syahid, barulah ia
lebih utama.
Ini menunjukkan keagungan 10 hari pertama Zulhijah. Abu Osman Al-Nahdi
(tabi’in) berkata, “Sesungguhnya para sahabat mengagungkan tiga 10;
iaitu 10 malam terakhir Ramadan, 10 hari terawal Zulhijah, dan 10 hari
terawal dari Muharam.” (Lathaif Al-Ma’arif)
10 hari terawal Zulhijah menunjukkan keutamaan mutlak di atas hari-hari
lain selama setahun. Tidak ada hari yang lebih utama berbanding 10 hari
ini. Malah 10 hari pertama Zulhijah ini lebih besar keutamaannya
berbanding 10 hari terakhir Ramadan. Ini kerana Rasulullah SAW menyebut
secara umum “tidak ada satu hari pun” di mana amalan soleh lebih
dicintai ALLAH daripada 10 hari ini.
Sebahagian ulama mengkompromikan keutamaan hari ini dengan mengatakan,
10 malam terakhir Ramadan lebih utama berbanding 10 malam terawal
Zulhijah, kerana malam 10 akhir Ramadan ada Lailatulqadar.
Tetapi 10 hari pertama Zulhijah (siangnya) lebih utama berbanding siang
10 hari terakhir Ramadan. Ini pendapat yang dipegang oleh Syaikh
Al-Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Al-Qayyim, dan ramai lagi di kalangan para
ulama.
Adapun Ibnu Rajab rhm, beliau melihat hadis Ibnu Abbas tentang
keutamaan 10 hari pertama Zulhijah ini adalah nas yang menunjukkan
keutamaannya secara mutlak (umum), iaitu lebih utama daripada seluruh
hari-hari terakhir Ramadan.
Ibnu Hajar berkata, “Sebab yang menjadikan istimewa sepuluh hari
Zulhijah adalah padanya terkumpul ibadah-ibadah induk iaitu solat,
puasa, sedekah, haji, yang tidak terdapat pada hari lain.” (Fathul Bari)
Maka hendaklah kita mengetahui keagungan hari-hari ini, merebut faedah
daripadanya. Jangan sampai kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja.
Dalam hadis Ibnu Umar ra, Nabi SAW bersabda, “Tidak ada hari yang
paling agung dan amat dicintai ALLAH untuk beramal di dalamnya daripada
sepuluh hari (Zulhijah) ini. Maka perbanyakkanlah di dalamnya tahlil,
takbir dan tahmid.” (Riwayat Ahmad)
Dengan itu juga saya menyeru seluruh kaum Muslimin memperbanyakkan
amalan soleh pada 10 hari ini; Haji bagi yang mampu, membaca al-Quran,
solat, zikir, sedekah, puasa, taubat, berbuat baik sesama makhluk, dan
pelbagai amal yang mendekatkan diri kepada ALLAH.
Dukacita kita melihat kebanyakan manusia membiarkan 10 hari ini berlalu
dan tidak bersungguh-sungguh merebut kebaikan yang ada padanya seperti
mana mereka mengejar keutamaan yang ada pada 10 malam terakhir Ramadan.
Menjadi tanggungjawab para penuntut ilmu dan sesiapa yang memiliki ilmu
supaya memberi kesedaran kepada sesama manusia akan keutamaan hari-hari
ini, kerana manusia kebanyakannya lupa, lalai, dan tidak mengetahui,
mereka sangat memerlukan peringatan dan ilmu.
Hari yang paling utama untuk puasa pada 10 hari ini adalah pada Hari
Arafah (9 Zulhijah) bagi yang tidak mengerjakan haji. Rasulullah SAW
ketika ditanya tentang puasa pada hari Arafah Baginda bersabda, “Aku
berharap agar ALLAH menghapuskan (dosa-dosa) setahun sebelumnya dan
setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)
Kemuncaknya, setelah bersungguh-sungguh beribadah pada hari-hari ini,
ALLAH menganugerahkan hari raya, di mana umat Islam diharamkan puasa,
tetapi disuruh menyembelih korban dalam rangka mendekatkan diri kepada
ALLAH, setelah melaksanakan solat Eid berjemaah dan mendengar khutbah.
Ini adalah sunnah sejak zaman Nabi Ibrahim dan syariat ini tidak terhapus hingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment